4 – Konsep ibadah membina insan berkualiti

4.1 PENDAHULUAN

Seluruh aktiviti Mukmin yang dilakukan dengan niat yang baik dan cara yang tidak bercanggah dengan syariah Islam, sama ada bertujuan untuk melaksanakan hak Allah, diri sendiri, insan lain atau hak persekitaran, dianggap sebagai ibadah. Ibadah dalam pengertian yang luas dan menyeluruh merupakan tujuan manusia dicipta oleh Allah. Ibadah berperanan sebagai motiyasi asas yang mendorong segala tingkah laku Muslim. Ibadah juga mengandungi dua kategori iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Para ulama usul fiqah menggunakan istilah 'urusan ibadah' sebagai menggantikan istilah 'ibadah khusus', dan istilah 'urusan muamalat' sebagai menggantikan istilah 'ibadah umum'.
Ibadah membabitan keimanan, keilmuan dan amal yang ihsan. Keimanan itu bukanlah dengan berangan sahaja tetapi keimanan adalah ketetapan dalam hati dan diakui dengan amalan. Untuk melaksanakan ibadah dengan baik, setiap Muslim perlu mempunyai beberapa kekuatan asas seperti kekuatan akidah, ilmu, ekonomi, budi pekerti, ikatan masyarakat, jihad dan ijtihad (Sayid Sabiq, 1978).
4.2 PENGERTIAN IBADAH
Maksud ibadah adalah taat, tunduk dan patuh serta menyerah diri. Manusia yang menyerah diri kepada Allah, taat kepada hukum-hukumNya, bermakna ia menjadi abdi kepada Allah. Sebaliknya mereka yang tunduk dan patuh kepada selain Allah, akur kepadanya, maka mereka menjadi abdi kepada selain Allah. Seseorang yang mentaati yang lain tanpa keizinan oleh Allah, jadilah ia beribadah kepada manusia tersebut. Menurut Imam Ja'far as-Sadiq (Muhammad Haidari, t.thn), "Sesiapa yang mentaati seorang dalam maksiat maka sesungguhnya ia telah mengabdikan diri kepadanya". Allah s.w.t telah berfirman dengan maksudnya,
Tidaklah Aku ciptakanjin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu
(Ad-Dzaariaat: 56)
Ibadah dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali dengan konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara manusia dan Allah dan ibadah dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat yang tertentu. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud,
Seluruh muka burnt ini adalah dijadikan masjid untukku, suci dan bersih (Riwayat Al-Bukhari)
Diwajibkan jin dan manusia beribadah kepada Allah supaya mendapat keredhaan Allah dan ganjaran yang cepat di dunia dan ganjarannya yang ditangguhkan di akhirat. Allah tidak mendapat sebarang manfaat daripada ketaatan manusia dan tidak pula rugi dari perbuatan maksiat hambanya. Sebenarnya yang rugi adalah manusia itu sendiri samada di dunia atau di akhirat nanti.
4.3 PEMBAHAGIAN IBADAH
Ibadah terdiri dari berbagai-bagai bentuk, bukan satu macam sahaja sehingga jin dan manusia tidak merasa jemu dalam menunaikan ibadahnya. Peningkatan ibadah berbeza dan beraneka rupa dan sesuai dengan segala perangai, persiapan dan kecenderungan manusia itu sendiri. Firman Allah yang bermaksud,
Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza (Al-Lail: 4)
Terdapat berbagai-bagai bentuk ibadah dapat dilakukan oleh seseorang Muslim seperti memberi sedekah kepada anak yatim, membuang duri dari jalanraya, menulis kertas kerja, menjadi ahli dalam gerakan dakwah, bekerja mencari nafkah untuk keluarganya dan lain-lain lagi. Islam merangkumi segala aktiviti manusia sehingga makan minum dan berehat pun boleh menjadi ibadah jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga untuk memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh agama Islam. Ulama' telah menghuraikan persoalan ibadah ini dalam konteks ibadah khusus dan ibadah umum.
4.3.1 Ibadah Khusus
Ibadah khusus melibatkan segala aktiviti yang dilakukan oleh Muslim untuk menunaikan hak Allah ke atas diri mereka. Ibadah ini mempunyai tiga unsur yang penting :
i. Unsur matlamat (niat) : Hanya Allah sahaja yang patut disembah dan tidak ada sebarang unsur syirik dalam penyembahan itu (Nik Azis, 1986).
ii. Unsur pelaksanaan : Aktiviti menyembah Allah dilaksanakan mengikut cara-cara terperinci yang ditunjukkan oleh syariah Islam. Segala cara untuk melaksanakan ibadah khusus ditetapkan melalui wahyu dan semua cara yang direka dalam melaksanakan ibadah khusus adalah tertolak secara automatik dan dianggap bidaah.
iii. Unsur penilaian : Aktiviti ibadah khusus yang mempunyai 'jiwa ibadah' seperti ikhlas, khusyuk dan 'hadir hati' sahaja yang diterima oleh Allah.
Di antara contoh ibadah khusus ialah seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir dan seumpamanya.
- Solat Sebagai Contoh Ibadah Khusus
Solat merupakan ibadah khusus yang utama. Selain dari berperanan sebagai 'tiang agama' ia mempunyai kesan yang amat besar ke arah mendidik jiwa manusia dan mempunyai banyak hikmah jika dilakukan dengan sempurna. Namun apa yang sangat dikesalkan ialah ramai daripada umat Islam kini umumnya, memandang ia sebagai suatu yang enteng. Ada yang merasakan solat tidak memberi apa-apa faedah. Terdapat sesetengah golongan yang sengaja meninggalkan solat pada waktu yang diwajibkan ke atasnya ketika itu dengan alasan untuk menggantikannya (qada') nanti. Malah terdapat sesetengah pihak yang menganggap solat Jumaat hanya diwajibkan sekali bagi tiga minggu sedangkan ia adalah merupakan kefarduan setiap minggu. Itulah gambaran ringkas betapa tipisnya anggapan mereka terhadap solat (Kasim bin Awang, 1990).
Seseorang yang melakukan solat akan mendapat ketenangan dan keriangan di hatinya, kerana solat yang dilakukan secara berterusan akan menghubungkan hamba dengan Allah secara langsung dan pada setiap masa. Ketenangan dan keriangan yang dicapai melaluinya tidak dapat digambarkan oleh kata-kata atau lukisan, bahkan hanya jiwa yang mengalaminya dapat menilai.
Bermula dari amalan mengambil wuduk, anggota seseorang itu sentiasa bersih dan bercahaya. Setiap pergerakan dalam rakaat solat, bermula daripada pergerakan mengangkat tangan ketika takbiratu al-ihram, rukuk, sujud sehingga kepada memalingkan muka ke kanan dan ke kiri ketika memberi salam merupakan pergerakan yang dapat menolong menambahkan kesihatan badan seperti melicinkan sistem urat saraf dan perjalanan darah.
Ketika sedang menunaikan solat, seseorang itu telah melepaskan jiwanya daripada keduniaan. Pada saat itu dia hanya berbicara dan menghadap Tuhan dan menghadap Tuhan Rabbu al-Jalil, memohon pertolongan dan petunjuk serta inayat rahmat dari sifat al-Rahman dan al-RahimNya. Solat juga merupakan doa kerana kebanyakkan lafaz-lafaz yang dituturkan ketika solat adalah berbentuk doa. Permohonan dan pengharapan kepada petunjuk dan pertolongan Allah menyebabkan seseorang itu mempunyai keyakinan, kekuatan, kesabaran dan kejernihan jiwa kerana Allah s.w.t adalah penerima hakiki segala permohonan dan pengaduan, apa lagi jika solat itu dilakukan dengan khusyuk. Ayat al-Quran yang dibaca akan menyelinap masuk ke kalbu halus, membangkitkan rasa rendah diri, insaf, mengakui keagungan Tuhan semesta alam dan berupaya menerima hakikat bahawa kehidupan di alam ini hanyalah sementara. Ini akan membawa kepada suatu kesedaran bahawa apa juga bentuk masalah yang dihadapi adalah cubaan, iaitu untuk menguji ketabahannya. Selanjutnya, bila hakikat ini diterima, jiwa akan tabah, insaf dan tenang dalam memilih jalan untuk mengatasinya.
4.3.2 Ibadah Umum
Ibadah umum melibatkan aktiviti-aktiviti yang dikerjakan oleh Muslim, sama ada untuk tujuan menunaikan diri sendiri, insan atau persekitaran.
Aktiviti ibadah umum terbahagi kepada dua jenis iaitu aktiviti yang mengandungi ta'abbudi seperti perkahwinan dan perceraian dan aktiviti yang tidak mengandungi unsur ta'abbudi seperti perindustrian dan senibina. Aktiviti yang mengandungi semangat ta'abbudi diberi batas dan ketentuan oleh syariah Islam, seperti menetapkan syarat perkahwinan dengan jelas.
4.3.3 Syarat-Syarat Amalan Menjadi Ibadah
Sesuatu pekerjaan kita itu boleh menjadi ibadah apabila mengikut syariat (hukum-hakam) Islam. Ia mengandungi perhubungan kita dengan Allah SWT dan perhubungan kita sesama manusia. Firman Allah s.w.t bermaksud, Akan ditimpa kehinaan ke atas mereka itu di mana sahaja mereka berada melainkan menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri sesama manusia (Al-Imran: 112)
Kalau kita menegakkan salah satu sahaja daripada kedua jenis perhubungan ini umpamanya perhubungan sesama manusia sahaja tanpa memberikan perhatian kepada perhubungan dengan Allah s.w.t dan tidak menurut perintah Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w, ia tidak dikira ibadah dan Allah s.w.t mungkin menimpakan atas kita bala dan azab. Setiap amalan manusia yang biasa boleh bertukar kepada ibadah dan akan diberi ganjaran atau pahala jika ianya memenuhi syarat-syarat berikut (Sulaiman Noordin 1989),
i. Niatnya : Pekerjaan yang disertakan dengan niat atau objektif yang baik yang diredai Allah seperti mencari rezeki yang halal bertujuan untuk mengelakkan kemiskinan diri sendiri dan tanggungannya supaya tidak akan bergantung kepada orang lain. Semua amalan yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah.
ii. Perkara yang halal: Perkara yang hendak dibuat adalah halal atau harus. Perkara yang haram perlu ditinggalkan. Umpamanya, menjual arak tidaklah halal dari segi Islam. Perkara yang haram bukan sahaja merosakkan individu yang terlibat malah boleh merosakkan orang lain, masyarakat dan negara. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam, sesuai dengan hukum-hukum syariat dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut, adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti kerja yang ada hubungannya dengan riba' dan sebagainya, tidaklah sekali-kali menjadi ibadat, kerana Allah bersifat bersih dan baik tidak menerima amalan kecuali yang baik dan bersih sahaja.
iii. Dilakukan secara sederhana : Sederhana merupakan jalan pertengahan yang perlu diambil oleh umat Islam dalam segala tindakannya dalam memenuhi tuntutan naluri semulajadinya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampau batas" (Al-A'raf: 31). Amalan-amalan itu hendaknya dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati kehendak-kehendak hadith Nabi s.a.w. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim yang bererti: " Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap sesuatu." Dalam yang lain pula Rasulullah s.a.w bersabda: " Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja memperelokkan kerja itu."
iv. Perlaksanaan tertakluk kepada ajaran Islam : Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.Segala kerja haruslah dilaksanakan dengan jujur, amanah dan bersih. Menurut ajaran Islam, jika bertujuan bersih, caranya pun mesti bersih. Ini bertentangan dengan ajaran komunis atau sosialis yang berpegang kepada prinsip "Tujuan menghalalkan sekalian cara" (The end justifies the means).
v. Tidak meninggalkan kewajiban asas: Dalam kesibukan kita melaksanakan pekerjaan dan perniagaan, kita tidak boleh meninggalkan sembahyang, puasa dan zakat. Kesibukan itu tidak boleh dijadikan alasan bagi kita meninggalkan yang wajib. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Orang-orang yang tidak dapat dilalaikan oleh perniagaan dan perdagangan daripada mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta membayar zakat (An-Nur: 37).
vi. Dilakukan dengan tekun dan cekap : Seorang pekerja seharusnya bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dan tugasnya dengan penuh kepakaran dan kecekapan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda dengan maksudnya, Sesungguhnya Allah sukajika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun (riwayat Al-Baihaqi).
Ringkasnya jika seorang Mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya seharian maka ia dikira sebagai ibadat kepada Allah.
4.4 ASAS-ASASIBADAH
4.4.1 llmu
Masyarakat Islam hari ini sedang mengalami kemerosotan nilai ilmu yang diungkapkan sebagai "rabun membaca, lumpuh menulis". Mereka seolah-olah sudah terputus dari sejarah Islam yang bermula dengan reyolusi keintelektualan, anjakan radikal dari kegelapan jahiliah kepada kecerahan Islam bermula dengan satu kata, "Iqra" (baca). Ilmu adalah ciri utama kekhalifahan Adam AS dan pengalaman ta'lim al-asma' (pengajaran tentang nama-nama) mengisyaratkan tentang hakikat manusia sebagai makhluk yang highly teachable. Dalam era yang berasaskan ilmu (knowledge based)- persaingannya adalah persaingan keilmuan sementara modal utamanya ialah intellectual capital. Budaya yang kuat yang mampu mengangkat martabat umat adalah budaya yang mendaulatkan nilai ilmu dengan mengembalikan ilmu ke posisi puncak urutan nilai-nilai budaya umat dan mengangkat martabat para ilmuan (Siddiq Fadhil, 2005).
Ilmu ialah mendapat atau menyerlahkan hakikat sesuatu. Orang yang berilmu ialah orang yang berupaya mendapatkan hakikat sesuatu atau membuka dan menyerlahkan hakikat sesuatu itu sehingga ia mengenali hakikat tersebut dan mengetahuinya. Ia boleh dicapai oleh manusia, kerana Allah s.w.t melengkapi manusia dengan keupay aan yang ditentukan oleh Allah S. W.T. Dengan keupayaan itu manusia dapat menghuraikan sesuatu perkara, membahagi-bahagikan mengikut bahagiannya, mengolah dan menamakannya untuk dibezakan antara satu sama lain bagi mengenalinya.
Keupayaan ini adalah kurniaan Allah s.w.t yang istimewa kepada manusia sehingga melayakkannya menjadi khalifah Allah s.w.t di bumi ini. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
Dan Ia mengajar Adam akan nama semuanya. Kemudian di bentangkan kepada malaikat sambil berkata: "Ceritakan kepada-Ku nama-nama itu semuanya sekiranya kamulah yang benar". Malaikat berkata: Maha Suci Engkau, tidak ada ilmu bagi kami melainkan sekadar yang telah Engkau ajarkan. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Bijaksana (Al-Baqarah: 31-32)
Ilmu yang memberi manfaat ialah ilmu yang menambahkan takwa kepada Allah s.w.t yang telah mendekatkan diri kepada-Nya, yang menyempurnakan akhlak dan kelakuan, memberi kebaikan kepada makhluk Allah, membebaskan mereka dari penderitaan, kehinaan, kelaparan dan sebagainya. Kesemua perkara yang disebutkan itu, jika diamalkan akan menambahkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Dengan syarat bahawa amalan itu berserta dengan keimanan yang sebenarnya dan keikhlasan yang Sesungguhnya (Nakhaie, 1998).
4.4.2 Iman
Menerima Islam secara jujur dan yakin terhadapnya di dalam hati dinamakan sebagai beriman. Huraian tentang keimanan ini dirumuskan pengertiannya dengan ungkapan bahawa iman itu ialah membenarkan di dalam hati terhadap kebenaran Allah dan menerima di dalam hati Nabi Muhammad s.a.w dan bahawa ajaran yang dibawanya daripada Allah s.w.t itu adalah benar (Nakhaie, 1998).
Menurut al-Qaradawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Jadi iman itu bukan semata-mata ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan bukan pula hanya merupakan pengetahuan tentang keimanan. Ia bukan hanya pernyataan seseorang bahawa ia beriman kerana ramai orang munafikin yang mengaku beriman dengan lidahnya tetapi hatinya tidak pernah percaya kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah yang bermaksud,
Dan di antara manusia ada yang berkata kami telah beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, sedangkan mereka tidak beriman (di dalam hati). Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, sebenarnya mereka tidak menipu sesiapa melainkan diri mereka sendiri (Al-Baqarah:8-9)
Jadi keimanan itu penerimaan yang sampai ke tahap keyakinan yang teguh,' kuat dan tidak dilanda syak dan ragu sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud,
Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu (Al-Hujurat: 15)
Keyakinan atau tasdiq yang kukuh dan teguh itu adalah hakikat iman.
4.4.3 Ihsan
Ihsan menurut pengertian bahasa ialah bekerja dengan baik, beramal dan berusaha dengan tekun. Manakala menurut istilah ialah (Ab. Latif dan Rosmawati, 1998):
a. Mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadah dan mengelokkan perbuatan
batin dengan ikhlas. b. Menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNy a, jika kamu tidak melihatNya
maka Ia melihat kamu. c. Mencapai keikhlasan dengan bermuraqabah atau mendekatkan diri kepada
Allah dalam setiap keadaan dan urusan.
Kalimah ihsan dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud,
...dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu... (Al-Baqarah : 83) Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan... Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik, melainkan balasan yang baikjuga? Hadith Rasulullah ketika menjawab pertanyaan malaikat Jibril bermaksud,
Apakah itu ihsan? Nabi menjawab : "Ihsan ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Allah melihatmu" (Riwayat al-Bukhari)
Ihsan dalam konteks yang lebih luas ialah mereka yang beribadah kepada Allah dengan dorongan keyakinannya bahawa Allah sahaja yang berhak disembah, ditaati dan diagungkan tanpa mengharapkan pahala atau seksa, sama ada dapat masuk syurga atau neraka. Ini adalah kerana kurniaan syurga atau neraka, pahala dan dosa itu ialah limpah rahmat Allah.
4.4.4 Ikhlas
Ikhlas merupakan alat pembersih atau penyuci amalan yang kita kerjakan. Jika amalan yang kita kerjakan itu kerana riak atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain, maka amalan itu tidak bersih, bahkan ia adalah amalan maksiat pula. Oleh yang demikian, setiap amalan hendaklah diniatkan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata (Haji Johari, 1992).
Ikhlas ialah menentukan hanya Allah menjadi tumpuan ketaatan yakni yang dikehendaki daripada ketaatan, hanya mendekatkan diri kepada Allah dan tidak kepada yang lain yang terdiri daripada perbuatan mengambil hati makhluk atau mendapat pujian di kalangan manusia atau suka kepada pujian makhluk atau apa jua pengertian yang lain selain mendekatkan diri kepada Allah.
Menurut ulama ada tiga tanda-tanda ikhlas iaitu terasa di dalam diri sama sahaja pujian dan cacian daripada orang ramai, lupa memperlihatkan kerja-kerja di dalam semua pekerjaan dan lupa kepada kemestian mendapat ganjaran di akhirat. Orang yang ikhlas tidak menghiraukan pujian dan celaan orang ramai, terhadap dirinya dan apa yang dilakukannya daripada amalan ibadahnya. Baginya pujian atau cacian itu sama sahaja dan tidak memberi apa-apa erti kepadanya serta tidak dapat memasuki hatinya, apa lagi untuk memberi kesan kepada hatinya kerana tumpuan had dari segala amalannya ialah Allah s.w.t. Begitu juga ia langsung tidak teringat untuk mempamerkan kerjanya dan amalannya. Baginya mempamerkan kerjanya adalah tidak perlu. Untuk apa dipamerkan kerja-kerja itu, pada hal Allah lebih mengetahui apakah kerja ibadah yang dilakukannya. Begitu juga keikhlasan menyebabkan ia tidak ingatkan ganjaran akhirat kerana hanya keredhaan Allah yang diharapkan dan apa yang dilakukan semata:mata kerana Allah dan bukan untuk mendapat ganjaran-Nya.
Perasaan ikhlas ini akan muncul di dalam diri mereka yang bermujahadah di dalam membina kerohaniannya menerusi proses pembinaan kerohanian. Pengukuhan tauhid di dalam kepercayaan dan ibadah memberi kesan ke atas dirinya sehingga tumbuh bibit-bibit keikhlasan dan bibit itu terus membesar sehingga menguasai dirinya dengan muncul tanda-tanda keikhlasan seperti yang disebut di atas.
Kesimpulannya, seseorang yang ingin mendapat kedudukan takwa hendaklah mengamalkan sifat ikhlas kerana Allah dalam segala perbuatan kebajikan dan amal ibadatnya. Setiap amal itu hendaklah dilakukan bukan kerana sebarang pengaruh lain seperti riak, hendak menunjuk-nunjuk, ataupun kerana terpaksa atau dipaksa oleh sesiapa. Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya,
Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepda Allah dengan ikhlas dan mempunyai agama (Al-Bayyinah: 5)
4.5 KEISTIMEWAAN IBADAH
Beberapa keistimewaan ibadah di dalam Islam ialah,
1) Perhubungan manusia dengan Allah s.w.t tidak memerlukan perantaraan. Ia bermakna tiada dominasi oleh para ulama dalam melakukan peribadatan kepada Allah s.w.t. Ini berbeza dengan apa yang terdapat di dalam agama Kristian di mana rahib-rahibnya berperanan sebagai perantara kepada Tuhan dalam menentukan hukum dan mengampunkan dosa penganutnya. Islam menggariskan hanya Allah sahajalah sumber hukum dan Dia sahajalah tempat seseorang itu mengadu. Ini boleh dilakukan secara langsung kepada Allah s.w.t tanpa perlu mengadap para ulama untuk memohon restu. Namun begitu para ulama mempunyai peranannya sendiri dalam masyarakat iaitu dalam memandu anggota masyarakat ke arah melakukan peribadatan dengan cara betul (Abu Urwah, 1986).
2) Ibadah dalam Islam terkongkong pada sesuatu tempat peribadatan sahaja. Ibadat boleh dilakukan di mana-mana saja kerana di mana saja seseorang itu berada, perhubungan yang langsung kepada Allah s.w.t dapat dilakukan. Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat najis dan kotor sebagai masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan Rasulullah s.a.w sendiri di mana beliau bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berkenderaan.
3) Keluasan ibadat dalam Islam. Ruang ibadat dalam Islam amat luas sekali. lanya merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan baik yang bersangkutan dengan individu mahupun dengan masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadat kepada Allah S. W.T jika memenuhi syarat-syarat tertentu.
4.6 IMPAK IBADAH DALAM KEHIDUPAN MUSLIM BERKUALITI
4.6.1 Kesan Pengabaian Ibadah
Apabila perhubungan dengan Allah ditinggalkan, perhubungan dengan manusia akan turut tercela kerana manusia akan didorong oleh nafsunya. Akibat dari pelanggaran hukum Allah s.w.t boleh dilihat di negara-negara yang dikatakan maju dalam sains dan teknologi. Umpamanya di Amerika dan Eropah, jenayah semakin menjadi-jadi dan langkah untuk mencegahnya tidak berkesan. Krisis moral, krisis alam sekitar, krisis ekonomi, krisis keluarga menjadi berleluasa sehingga anak sendiri menjadi mangsa.
Sebuah buku yang diterbitkan oleh Pusat Kanak-kanak Kebangsaan Britain pada tahun 1978 telah mengatakan bahawa di negara Britain, antara 30000 hingga 40000 bayi tiap-tiap tahun telah diseksa dan diserang dengan teruk oleh ibu bapa mereka di rumah sendiri (Renyoize, 1975). Inilah yang dikatakan penyakit jiwa ibu bapa yang disebabkan oleh penyakit gila dunia dan tidak tunduk kepada ajaran agama.
Selain dari itu wujud jenayah rompakan dan pembunuhan yang menakutkan. Negara mewah dari segi kebendaan tetapi rakyatnya tidak berasa tenteram khasnya pada malam hari di mana rumah perlu dikunci dan dipasang alat-alat eletronik untuk mencegah perompak. Walaupun demikian, bilangan kejadian pecah rumah dan pencerobohan tetap meningkat dari setahun ke setahun. Inilah gejala-gejala penghinaan yang Allah s.w.t timpakan kepada kaum yang tidak mengikut perintah Allah s.w.t. 4.6.2 Cara Pemantapan (Melahirkan Insan Berkualitl)
Pelaksanaan ibadah khusus dan umum akan melahirkan insan berkualiti yang berupaya memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi. Manusia dilahirkan dengan menghadapi berbagai cabaran dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
Kehebatan Rukun Islam - iaitu solat, puasa, zakat dan haji, selain daripada mengucap kalimah syahadah - dalam melaksanakan fungsinya merupakan mekanisme ampuh untuk membentuk peribadi yang berakhlak mulia.
Berhubung dengan ibadah solat, maka al-Quran telah menjelaskan fungsi moralnya sebagaimana finnan Allah yang bermaksud :
... dan dirikanlah salat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan fasya' dan mungkar (Al-Ankabuut: 45)
Ternyata bahawa solat itu sendiri berfungsi sebagai pendinding kepada perbuatan fasya' dan mungkar. Apa yang dimaksudkan dengan istilah fasya' di dalam ayat ini, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Raghib al-Asfahani didalam tulisan beliau, al-Mufradat, sebagai sesuatu yang tersangat keji sama ada perkataan atau perbuatan, di mana perbuatan-perbuatan seumpama berzina, mencuri, minum arak dan yang seumpamanya adalah tergolong di bawah naungan istilah ini. Manakala istilah mungkar pula, sebagaimana yang ditakrifkan oleh al-Jujani di dalam al-Ta'rifat, adalah merujuk kepada perkataan atau perbuatan seseorang yang di dalamnya tidak ada atau ternafi keredhaan Allah s.w.t.
Jadi, gambaran yang ada dalam ayat al-Quran di atas di atas merujuk kepada perilaku moral yang cukup positif, yang tumbuh hasil dari ketekunan menunaikan solat. Perilaku akhlak positif tersebut adalah cukup luas dan menyeluruh serta meh'puti segenap aspek terperinci dalam kehidupan harian manusia, kerana ia dirangkumi oleh semua bentuk perkataan atau perbuatan keji yang tidak direstui oleh Allah s.w.t.
Beralih kepada rukun puasa, ternyata bahawa tujuan penunaiannya bukan hanya sekadar suatu percubaan menahan diri daripada makan dan minum dalam suatu tempoh waktu yang khusus, tetapi lebih utama daripada terperangkap ke dalam jerangkap keinginan nafsu untuk melakukan perbuatan atau meluahkan perkataan keji yang dilarang dan dicela oleh agama. Atas landasan inilah, Rasulullah s.a.w pernah mengungkapkan yang maksudnya :
Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan palsu atau dusta dan mengamalkannya, maka Allah s.w.t tidak berhajat untuk menerima ia dalam meninggalkan makan dan minum (Allah tidak berhajat untuk menerima puasanya) (Riwayat al-Bukhari) Bukanlah puasa itu hanya dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu (menahan diri daripada) perkara yang sia-sia dan keji. Jika terdapat seseorang memaki kamu atau mengatakan kamu bodoh, maka katakanlah: " Aku sedang berpuasa" (Riwayat Ibn Khuzaimah)
Ramai orang yang berpuasa tetapi bahagiannya daripada puasa itu hanya lapar dan dahaga, ramai orang yang solat pada waktu malam, dan solat itu hanya berjaga malam (Riwayat Ibn Khuzaimi)
Jelas sebagaimana tersurat dari gugusan hadith di atas, bahawa menahan diri yang dilakukan oleh seseorang daripada makan dan minum sewaktu menunaikan rukun puasa bukanlah matlamat sebenar kefardhuan puasa. Matlamat yang sebenar mahu dicapai oleh kefardhuan puasa, adalah ke arah pembentukan peribadi terbabit dengan nilai-nilai akhlak yang terpuji. Oleh kerana itu, hadith-hadith di atas secara terang-terang mencela perbuatan-perbuatan dusta, sia-sia serta keji, yang kesemua itu merupakan nilai-nilai negatif yang perlu dibersihkan daripada peribadi setiap muslim.
Seterusnya, apabila dibicarakan mengenai kefardhuan zakat, perlu difahami bahawa zakat itu termasuklah juga sedekah. Ini ialah kerana sedekah dan zakat, kadang-kadang, membawa makna yang sama. Malah menurut penggunaan al-Quran pun pada beberapa tempat istilah al-sadaqah itu adalah sebenarnya dirujukkan kepada zakat (misalnya, di surah al-Taubah, ayat 103 dan 60). Al- Raghib al-Asfahani di dalam al-Mufradat menjelaskan bahawa sedekah itu ialah apa yang dikeluarkan oleh seseorang daripada hartanya dengan maksud menghampirkan diri kepada Allah s.w.t sama seperti zakat.
Pada hakikatnya zakat bukanlah berupa cukai paksaan ke atas pihak yang berada dalam masyarakat, tetapi ia lebih merupakan suatu praktis moral yang tinggi dalam proses menyemai rasa kasih sayang yang tulus serta merapatkan hubungan ukhuwah di antara lapisan masyarakat, khususnya di antara golongan yang berada dengan golongan miskin. Di samping itu, ia juga merupakan suatu latihan untuk membersihkan sifat kedekut ataupun bakhil dengan harta yang mereka miliki. Sehubungan ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :
Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak buruk)... (Al-Taubah :103)
Ternyata bahawa semua ciri perlakuan yang dinyatakan di dalam hadith di atas merupakan nilai positif yang tergolong di bawah naungan akhlak yang mulia. Ini bermakna bahawa suatu bentuk galakan telah diinstitusikan oleh Islam untuk mendorong, melatih dan membiasakan diri ummahnya dengan nilai-nilai akhlak terpuji.
Selanjutnya, apabila kita beralih kepada kefardhuan haji, maka kita boleh temui firman Allah s.w.t sebagaimana berikut:
(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan ibadah haji), maka tidak boleh baginya melakukan rafath, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji... Di dalam ayat di atas, terdapat istilah rafath, di mana menurut Ibn Hajar di dalam al-Fath al-Bari, istilah ini pada pandangan ramai ulama adalah merujuk kepada jimak atau persetubuhan dengan isteri. Tetapi Ibn Hajar secara peribadi lebih cenderung untuk merujukkan istilah tersebut - berdasarkan zahir ayat di atas - kepada suatu perlakuan yang lebih umum daripada jimak. Malahan ia juga boleh merujuk kepada perkataan yang keji.
Berdasarkan firman yang dicatatkan di atas adalah jelas bahawa sewaktu seseorang sedang melakukan ibadah haji, terdapat sejumlah syarat dan peraturan - tidak boleh melakukan rafath, tidak boleh membuat maksiat serta tidak boleh bertengkar - yang mesti dipatuhi untuk memastikan kesempurnaan ibadah tersebut. Apa yang cukup menarik untuk diperhatikan di sini ialah tentang syarat dan peraturan yang dikenakan itu semuanya mempunyai nilai-nilai akhlak yang terpuji. Ini bermakna bahawa terdapat suatu perencanaan yang teliti yang telah sedia diletakkan oleh Islam untuk mendidik dan membentuk perlakuan para ummahnya ke dalam suatu acuan akhlak yang mulia menerusi penuaian fardhu haji (Zakaria Stapa, 1995).
Akhirnya lahirlah hasil kecemerlangan yang diharapkan iaitu,
1. Melahirkan insan rabbani iaitu insan yang dapat meyakini dan menghayati keesaan, kebesaran, kekuasaan, keadilan, dan keagungan Allah (Abdullah, Farahdina, Huzaimah, Norsiah, Salleh, 1996).
2. Manusia akan merasa dirinya kerdil. Justeru itu ia akan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk melaksanakan segala syariatNya sama ada berbentuk suruhan atau larangan seperti yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Tindakan sedemikian akan memperolehi keredaan di dunia dan di akhirat.
3. Melahirkan individu yang mempunyai sahsiah yang unggul yang mampu melihat dan memahami konsep hidup manusia secara syamul. Kesemuanya beroperasi mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah.
4. Dapat melahirkan insan yang seimbang iaitu manusia yang dapat mengimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani, ,akal dan hati, dunia dan akhirat, teori dan praktikal, kebebasan dan tanggungjawab, di antara tuntutan individu dan kumpulan masyarakat. Sebagai contoh ketika Rasulullah s.a.w menegur keazaman tiga orang sahabat baginda untuk menumpukan sepenuh tenaga untuk beribadat kepada Allah, salah seorang daripada mereka berhasrat untuk berpuasa seumur hidup tanpa berbuka, yang seorang lagi hendak beribadah sepanjang malam dan yang ketiga bercita-cita untuk hidup membujang seumur hidup Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya,
Tidakkah saya ini orang yang paling takut di antara kamu kepada Allah dan paling taqwa di antara kamu kepadaNya, saya berpuasa tetapi saya berbuka, saya bangun di waktu malam tetapi saya tidur dan saya berkahwin. Maka sesiapa sahaja yang tidak suka kepada sunnahku maka ia bukan daripada pengikutku
(Riwayat Bukhari)
5. Dapat menghindar dan menyelesaikan masalah yang timbul di kalangan masyarakat seperti jenayah dan sebagainya.
6. Melahirkan insan yang positif dalam seluruh tindakannya seperti berani mempertahankan syariat Islam dalam sistem kehidupan.

4.7 KESIMPULAN
Konsep ibadah di dalam Islam adalah luas dan menyeluruh, merangkumi tingkah laku dan amalan manusia seluruhnya yang dikerjakan menurut ajaran Islam. Ibadat adalah nilai Islam yang penting kerana ia memainkan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat. Ibadat merupakan pelan induk yang mengikat antara hamba dengan Tuhan, mengawal manusia agar tidak terlepas daripada akidahnya. Akidah pula merupakan ikatan hati dan perasaan manusia kepada Allah. Manakala ibadah pula mengambil berat tentang gerak langkah manusia bagi ikatan tersebut supaya pertaliannya selalu rapat serta teguh dengan Allah. Matlamat ibadah dalam Islam ialah melaksanakan tujuan wujudnya manusia sebagai khalifah Allah di bumi untuk membina dan memajukan alam ini. Ibadah juga mempunyai kaitan yang rapat dengan akhlaki, Menerusi ibadah yang betul akan melahirkan kelakuan yang baik, bersopan dan j berakhlak mulia. Namun begitu, kemuncak pembangunan rohani hanya mampu j dicapai oleh individu yang benar-benar menghampiri diri kepada Allah melaluU ibadat khusus dan umum.
RUJUKAN
Al Quran Al-Karim.
Abdul Halim. 1991. Islam dan al-Hadith. Kuala Lumpur : Angkatan Bella Islam*
Malaysia.
Ab. Latif b. Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin. 1998. Pengantar Ilmu Tauhid. Kuala Lumpur : Pustaka Salam sdn. Bhd.
Abu Urwah. 1986. Risalah Usrah. Jilid 1. Kuala Lumpur : Pustaka Salam.
Haji Johari Haji Alias. 1992. Membina Semangat Positif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kasim bin Awang. 1990. "Hubungan jiwa dengan Ibadah Ke Arab Pembentukan Akhlak Pelajar", dalam Mengapa Kalimah Allah!. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Muhammad Haidari. t.thn. Al-Ibadah : Ab'aduha wa Atharuha. Tehran : Jama'ah al-Ulama al-Mujahidin di Iraq.
Nakhaie Ahmad. 1998. Di Bawah Naungan Islam. Kuala Lumpur : Institut Muamalat Malaysia.
Nik Azis Nik Pa. 1986. Islam dan Perancang Keluarga : Cara dan Hukum. Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Qaradhawi, Yusuf. 1980. Halal dan Haram dalam Islam. Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Renyoize, Jean. 1975. Children in Danger. England: Penguin Books.
Sayid Sabiq. 1978. Unsur-unsur Kekuatan Dalam Islam. Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Slddiq Fadhil. 2005. "Jati Diri dan Nilai-nilai Budaya Dalam Pemikiran Melayu". Dalam Ahmad Mohamad Said & Khalif Muammar A. Harris (editor), Pembangunan Watak Bangsa, Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.
Sulaiman Noordin. 1989. "Konsep Ibadah Dalam Islam" dim. Baharudm Yatim dan Sulaiman Noordin. Islam al-Quran dan Ideologi Masa Kini. Bangi: Pusat Pengajian Umum UKM.
Zakaria Stapa. 1995. Akhlak & Tasawwuf Islam. Kuala Lumpur : Berita Publishing Sdn. Bhd.

___________________________________
Disediakan oleh
Ustaz Abd Aziz bin Harjin